KUALA LUMPUR - Amanah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Hal Ehwal India Muslim bagi menjaga kepentingan dan kebajikan komuniti tersebut.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada 15 anggota tertinggi yang telah menyertai Amanah sebelum PRU14.

“Selaras dengan pendirian Amanah yang merupakan parti disertai berbilang kaum, kami bekerjasama dengan komuniti India Muslim ini untuk menubuhkan jawatankuasa ini bagi membawa suara mereka,” katanya, semalam.

Amanah membuat pengumuman jawatankuasa khas itu dalam tempoh lima hari selepas Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM) mengumumkan penubuhannya susulan perubahan landskap politik tanah air selepas PRU14.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, sekiranya komuniti India Muslim memilih untuk bersama PIBM, suara dan kebajikan mereka tidak dapat didengar dan hanya boleh di bawa di peringkat parti sahaja.

“Berlainan dengan komitmen Amanah, melalui jawatankuasa khas ini, segala perkara yang dibawa berkaitan komuniti India Muslim akan menjadi satu keputusan di bawah parti ini.

“Kami (Amanah) bekerjasama dengan semua pihak bagi membawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jawatankuasa Khas Hal Ehwal India Muslim, Noorul Hassan Saul Hamed berkata, buat masa ini seramai 5,000 anggota baharu terdiri daripada komuniti itu telah menyertai Amanah susulan penubuhan jawatankuasa tersebut.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan agar jumlah itu terus meningkat dan mencecah sehingga 20,000 orang sehingga tempoh akhir tahun ini.