AMPANG – Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa ada pihak yang mewujudkan akaun Facebook palsu dengan menggunakan namanya bertujuan  untuk menyebar fitnah.

Jamal memaklumkan akaun palsu itu dilihat bertujuan  mahu menunjukkan kononnya beliau menghina rakan bangsa lain.

“Saya menafikan akaun itu milik saya dan selepas membuat laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), saya dimaklumkan  mereka telah  mengenal pasti pihak yang mula menyebarkan berita palsu itu.

“Saya percaya Akta Antiberita Tidak Benar 2018 akan memakan diri kepada mereka yang membuat fitnah seperti ini,” katanya.

Menurutnya, akaun itu dipercayai wujud sejak dua tahun lalu, pihaknya juga  telah membuat laporan polis.

“Akaun itu kemudian telah ditutup oleh SKMM, walaubagaimanapun, ada pihak yang menyebarkan semula ‘screenshot’ itu melalui group aplikasi Whatsapp dan media sosial lain,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, pagi tadi.

Dalam perkembangan sama, Jamal  berkata  Ahli Parlimen daripada parti pembangkang tidak bersetuju Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 diwartakan sebelum PRU14.

“Sudah terbukti kenapa mereka tidak mahu RUU itu diluluskan dalam parlimen kerana tujuan mereka adalah untuk menyebarkan atau membuat berita palsu untuk menghasut rakyat dan pengundi supaya benci kepada pemimpin BN dan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.