KUALA LUMPUR - Kajian semula pemberian air percuma di Selangor akan dilaksanakan dengan mengambil kira kumpulan B40 sebagai golongan sasar yang layak menerima subsidi itu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan berhubung kajian semula itu dijangka diumumkan dalam pembentangan bajet Selangor 2019 pada hujung November ini bergantung kepada dapatan kajian yang menyeluruh.

"Sekarang kita beri air percuma kepada setiap orang di Selangor kerana itu kita perlu kaji semula kerana kita perlu ada sasaran subsidi. Kajian itu dibuat sebagai langkah jangka masa panjang demi manfaat oleh rakyat sewajarnya

"Perbelanjaan kita sekarang mencecah RM200 juta untuk program pemberian air percuma ini berbanding RM70 ketika mula dilaksanakan pada 2008 disebabkan peningkatan jumlah premis di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Selangor International Business Summit 2018, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Semalam, ketika menjawab soalan dari Lau Weng San (DAP-Banting) pada sesi soal jawab di Sidang Dun, Amirudin berkata ketika ini, kerajaan negeri akan mengekalkan pemberian air percuma selain tidak akan menaikkan tarif air.

Katanya penilaian semula tarif air juga akan dilakukan pada masa yang sesuai dengan memberi jaminan ia tidak bebankan kerajaan negeri dan rakyat.