KUALA SELANGOR – [DIKEMASKINI] Fenomena air pasang besar yang melanda perairan daerah ini dilaporkan terkawal dan berada dalam keadaan baik terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor menjelaskan, laporan situasi pemantauan di kawasan pesisiran pantai daerah ini masih dalam keadaan baik.

Menurutnya, status laporan pemantauan yang diterima agensi keselamatan berkaitan fenomena air pasang besar pada bacaan jadual air pasang setinggi 5.5 meter pada jam 7.06 pagi tadi.

“Setakat ini tiada limpahan air dikesan di kawasan pesisiran pantai dan cuaca juga dilaporkan cerah dan tiada laporan angin kencang

[ARTIKEL BERKAITAN: Fenomena air laut pasang besar bermula Isnin ini]

“Ban penahan ombak juga masih dalam keadaan baik dan tiada rebakan yang berkala besar di kawasan berisiko tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, 13 kawasan berisiko berlaku banjir akibat fenomena air pasang besar di daerah ini menjadi tumpuan agensi keselamatan.

Shamsul Shahril Badliza yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor itu berkata, pemantauan dilaksanakan dari masa ke semasa berikutan jangkaan air naik setinggi 5.5 meter.

"Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka bagaimanapun, penduduk di kawasan berisiko diminta bersedia dan mematuhi arahan pihak keselamatan termasuk berpindah jika diarahkan.

“Kita mengharapkan fenomena air pasang ini berlaku dalam keadaan terkawal tanpa limpahan serius dan berharap tiada angin kencang dan hujan lebat,” katanya.