SHAH ALAM - Gelombang pertama fenomena air pasang besar di lima daerah di Selangor yang memasuki hari ketiga hari ini tidak menyebabkan sebarang limpahan air di pesisir pantai.

Menurut kenyataan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, ban ataupun benteng di pesisir pantai adalah kukuh dan berada dalam keadaan baik selain tiada berlaku rebakan berskala besar.

"Tiada limpahan yang dikesan melepasi ban sehingga pukul 9 pagi ini dan keadaan pantai selamat serta terkawal," katanya dalam kenyataan.

Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang serta hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang bermula Isnin lepas hingga hari ini di pesisiran pantai negeri Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

Kenyataan itu turut menyebut kemuncak air pasang di pesisiran pantai negeri Selangor dicatatkan di Pelabuhan Klang pada kadar 5.5 meter pada pukul 7.42 pagi, namun keadaan terkawal.- Bernama