KAJANG – Geng ah long dipercayai terlibat dalam insiden kebakaran tujuh sekeluarga di Taman Cheras Prima, Kajang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada mangsa yang memaklumkan rumahnya dibakar oleh individu yang tidak diketahui.

“Siasatan awal pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah KajangSJ IPD Kajang mendapati, semasa mangsa sedang tidur di tingkat atas rumah, dia mendakwa telah terhidu bau asap kira-kira jam 1.30 pagi.

"Mangsa kemudian bangun dan membuat pemeriksaan, sebelum mendapati ruang tamu di tingkat bawah sedang terbakar,” katanya.

Beliau berkata, magsa mengejutkan ahli keluarga yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri dan kemudiannya telah hubungi pihak bomba.

“Kebakaran itu telah berjaya dikawal oleh pihak bomba yang tiba di tempat kejadian,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan yang dijalankan mendapati pintu rumah mangsa telah dikunci dari luar dengan mangga oleh suspek dan kenderaan jenis Nissan Frontier milik mangsa yang diletakkan di luar kawasan rumah turut diconteng dengan cat merah dengan tulisan Cina meminta hutang dibayar.

“Kita dimaklumkan mangsa tidak membuat pinjaman ah long, kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian dan juga suspek yang terlibat.