PETALING JAYA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan dengan niat membunuh abang kandungnya minggu lalu.

Tiada pengakuan direkod Mohamad Firdaus Nazi, 21, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majis­tret, Nik Mohd Fadli Nik Azuan.

Mohamad Firdaus yang tidak diwakili peguam dituduh menyebabkan kematian dengan niat membunuh Kamarul Izhar, 28, di tingkat atas rumah teres beralamat Jalan PJS 2/1,
Taman Datuk Harun, di sini, kira-kira 5 petang, 26 November lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesek­saan yang boleh dihukum gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Nik Mohd Fadli menetapkan kes disebut semula 17 Februari tahun depan.

Minggu lalu, akhbar melaporkan seorang adik menikam abang kandungnya selepas berlaku perang mulut akibat mangsa dikatakan mendesak adiknya itu membayar hutang RM50.

Pertelingkahan kerana sedikit wang itu berakhir dengan tragedi apabila adik mangsa bertindak mengambil pisau di dapur lalu menikam dada dan peha kiri abangnya sehingga mangsa menemui ajal.

Difahamkan ibu bapa mereka yang ketika itu berada di ruang tamu tingkat bawah rumah tidak menyangka pergaduhan dua beradik itu berakhir dengan tragedi.

Sementara itu, seorang penganggur di penjara dua bulan selepas menceroboh stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Taman Datuk Harun di sini.

Nik Mohd Fadli mengenakan hukuman itu selepas S Sathiyavel, 45, mengaku bersalah menceroboh kawasan larangan milik KTMB kira-kira 9.45 malam, Selasa lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kedua-dua kes dilakukan Timbalan Pen­dakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi.