SHAH ALAM - Seramai 86 anggota Koperasi Warga Taman Botani Negara Shah Alam Berhad (Kotaman) menerima sumbangan Aidilfitri RM350 setiap seorang dan agihan dividen tahunan pada kadar 80 peratus, di sini baru-baru ini.

Pengurus Kotaman, Ahmad Firdaus Misnan berkata, Kotaman komited untuk terus merealisasikan motto, Kejayaan Bersama Kebajikan.

Menurutnya, satu pencapaian membanggakan, kerana ini kali keempat berturut-turut Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan kadar dividen tahunan yang tinggi iaitu 100 peratus dan 80 peratus, dua kali.

"Kadar normal yang diluluskan kepada koperasi lain hanyalah sekitar 16 peratus ke 20 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Dividen Tahunan dan Sumbangan Hari Raya di Amphiteater Pusat, Taman Botani Negara Shah Alam, di sini.

Ahmad Firdaus berkata, segala usaha keras Ahli Lembaga Koperasi (ALK) Kotaman dalam memperkasakan keupayaan kewangan koperasi itu selama ini terbukti membuahkan hasil.

Katanya, diharapkan pemberian sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan para anggota di samping dapat menambah kemeriahan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menurutnya, Kotaman akan terus komited untuk menerokai bidang-bidang perniagaan baru pada masa hadapan bagi terus meningkatkan keupayaan koperasi ini dalam menjaga kebajikan anggotanya.