PUCHONG - Sebanyak 441 saman telah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan sepanjang Op Bersepadu Bersama Agensi Luar yang dilaksanakan oleh IPD Serdang bersama agensi penguatkuasaan lain, semalam.

Selain itu, sebanyak 14 buah kenderaan pula dikenakan tindakan tunda, 28 kenderaan dikunci serta 28 notis dikeluarkan dalam operasi serentak di beberapa lokasi dalam Daerah Serdang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan luar itu dilaksanakan bagi membanteras masalah jenayah, narkotik dan kesalahan trafik secara lebih berkesan.

“Selain Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Serdang, operasi bersepadu ini turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Operasi ini kita tumpu beberapa lokasi iaitu di Plaza Tol Sungai Besi, Tol Batu 13 Puchong, Tol Besraya, Jalan Kenari dan Bandar Puteri,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.

Selain itu, Ismadi menjelaskan, operasi berkenaan akan diteruskan secara berkala bukan sahaja bagi membendung jenayah malah bertujuan membangkitkan kesedaran khususnya kepada pengguna jalan raya terhadap kesalahan yang dilakukan.

Katanya, langkah penguatkuasaan berterusan diharap mampu mengurangkan statistik kesalahan jalan raya yang dilihat semakin meningkat.

“Operasi ini juga diharap akan membangkitkan kesedaran kepada pengguna jalan raya khususnya memandangkan statistik kemalangan serta pengeluaran saman tahun ini semakin meningkat berbanding 2017, bagi tempoh Januari -Jun.

“Justeru, kita melihat dalam hal ini, penguatkuasaan bersepadu sebegini perlu bagi mewujudkan kesedaran kepada pengguna. Kemudian kita akan teliti sejauh mana proses penguatkuasaan mampu membangkitkan kesedaran kepada mereka,” katanya.