KUALA LUMPUR - Sebanyak empat kawasan dikenal pasti bagi cadangan pembangunan perumahan awam bagi penyediaan rumah mampu milik kepada warga kota, tahun hadapan.

 
Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM35 juta disediakan pada 2012 untuk pembangunan empat perumahan awam berkenaan.
 
Menurutnya, tapak yang dikenal pasti adalah Perumahan Awam Kampung Wira Jaya, Setapak, Perumahan Awam India Settlement, Kampung Pandan, Perumahan Awam Sungai Udang, Segambut dan Perumahan Awam Kos Rendah Setia Jaya, Setapak.
 
“DBKL merancang untuk membangunkan kawasan perumahan untuk tujuan penempatan setinggan dan menyediakan rumah mampu milik yang dianggarkan berjumlah 1,620 unit kepada mereka yang layak. 
 
“Tapaknya sudah dikenal pasti, bagaimanapun ianya memerlukan kajian bagi menentukan kesesuaian dan kos pembangunan pada tahap munasabah dan berpatutan,” katanya pada Sidang Media Pembentangan Bajet DBKL 2012, di Menara DBKL, Jalan Raja Laut, di sini, semalam.
 
Beliau berkata, tambahan sebanyak RM5 juta lagi diperuntukan bagi membeli 350 unit rumah kos rendah yang dibangunkan YTL Corporation untuk disewakan kepada golongan eksekutif muda.
 
Jelasnya, DBKL telah meluluskan projek pembangunan rumah kos rendah sebanyak 150 unit untuk kira-kira 90 lagi setinggan yang akan dilaksanakan YTL Corporation dan 200 unit lagi akan dibeli dengan kos RM45,000 untuk seunit.
 
Semua peruntukan itu merupakan sebahagian daripada ajet DBKL tahun hadapan iaitu, RM2.303 bilion yang mana RM925.27 juta diperuntukan untuk tujuan pembangunan­ dan bakinya RM1.378 bilion pula diperuntukan untuk mengurus.
 
Ahmad Fuad berkata, bajet 2012 bertemakan ‘Ke Arah Kesejahteraan Wargakota’ itu memberi penekanan kepada tujuh strategi utama selari visi DBKL iaitu merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang 2020.
 
Katanya, antara yang diberi penekanan adalah mempertingkatkan kemudahan infrastruktur jalan raya dan lampu jalan, sistem lalu lintas dan perparitan serta sungai dan menyediakan unit kediaman mampu milik dan memasyarakatkan program penyelenggaraan perumahan awam dan perumahan rakyat.
 
“Turut menjadi fokus utama DBKL ialah untuk mempertingkatkan kebersihan bandar, memperkasa urus tadbir DBKL, mempertingkatkan kebersihan bandar, penghijauan dan penyelenggaraan taman rekreasi serta tanah lapang secara intensif.
 
“Tidak ketinggalan, memperbanyakkan program kemasyarakatan, kebudayaan, sukan dan kesihatan, dan Membudayakan program penyelenggaraan harta DBKL dan harta awam,” Katanya.
 
Pada sesi pembentangan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM263.89 juta bertujuan membina dan menaik taraf jalan raya.
 
Jelasnya, DBKL merancang untuk melaksanakan 26 Projek di mana 18 projek merupakan pembiayaan DBKL dengan anggaran sebanyak RM128.3 juta manakala lapan projek di bawah pembiayaan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) sebanyak RM135.59 juta.
 
“Salah satu projek besar di bawah DBKL adalah pembinaan jalan daripada Jalan Dang Wangi melintasi Jalan Tunku Abdul Rahman untuk pergi Jalan Raja Laut dengan kos RM39 juta,” katanya.
 
Sejumlah RM84.1 juta disediakan bagi kerja perparitan dan penyelenggaraan sungai dengan RM10.35 juta merupakan pembiayaan DBKL, RM10 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan sungai di bawah RMK10, RM4.25 juta melalui peruntukan khas tebatan banjir dan RM59.5 juta daripada peruntukan di bawah Greater KL/KV (River Of Live).
 
Bagi mempertingkatkan kebersihan bandar pula, sebanyak RM196.1 juta merangkumi peruntukan sebanyak RM125.05 juta bagi tujuan bayaran kontrak pembersihan meliputi pembersihan siar kaki di Kuala Lumpur, dan program pemindahan sampah Taman Beringin dan pelupusan sampah di Bukit Tagar Sanitary Landfills.
 
Bajet 2012 yang dirangka selaras dengan Pelan Strategik DBKL yang dijadikan hala tuju pengurusan dan pembangunan Kuala Lumpur serta selari dengan Pelan Strategik Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu adalah bajet yang lebih besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
 
Ia bukan sahaja untuk melaksanakan program dan aktiviti perbandaran, tetapi juga kesinambungan­ kepada program dan aktiviti pembangunan 2011 disamping penambahan beberapa program baru.