KUALA LUMPUR – Peningkatan kuantiti sisa pepejal di Sungai Gombak daripada 23 tan pada 2015 kepada 35 tan tahun lepas dikhuatiri boleh membantutkan usaha kerajaan memulihkan kualiti air sungai di Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Azmi Ibrahim berkata peningkatan 12 tan sisa pepejal yang dikutip menerusi pemasangan tiga perangkap sampah sejak 2015 menunjukkan trend penjanaan sisa buangan yang amat membimbangkan.

Katanya kualiti air di Sungai Gombak yang kini berada di kelas III (sedikit tercemar) akan berubah kepada kelas IV (tercemar) sekiranya masalah sisi pepejal tidak dapat diatasi.

Lebih membimbangkan masalah dikhuatiri akan menjejaskan kualiti air di Sungai Klang memandangkan Sungai Gombak merupakan antara 11 anak sungai utama di sungai berkenaan.

Azmi berkata JPS Selangor membelanjakan kira-kira RM60,000 setiap bulan untuk kos penyelenggaraan ketiga-tiga perangkap sampah di Sungai Gombak.

“Perbelanjaan ini semua pakai duit rakyat, jadi kalau kita buang sampah ke dalam sungai, ibarat kita buang duit ke dalam sungai,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Kempen #mybijaksampah di Kampung Kerdas di sini hari ini.

Azmi berkata JPS merancang untuk memulihkan Sungai Gombak daripada kelas III kepada kelas IIB (sesuai untuk tujuan rekreasi melibatkan sentuhan air).

Namun katanya tahap kesedaran mengenai pembuangan sisa pepejal masih rendah dalam kalangan rakyat, malah ramai yang tidak sedar bahawa sampah atau sisa pepejal yang dibuang merata-rata seperti di tepi jalan atau ke dalam longkang akan dialirkan ke dalam sungai.

Kempen #mybijaksampah bertujuan untuk mendidik masyarakat untuk mengurangkan pembuangan sisa pepejal di sungai melalui konsep 4R: Mengurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle) dan Jana Semula (Reloop).

Konsep Reloop atau Jana Semula adalah menggalakkan orang ramai menggunakan barang yang telah terpakai untuk mencari inisiatif menggunakannya semula sebagai contoh, pembelian botol kaca yang boleh diguna pakai semula untuk fungsi baru atau ​​​​​​ minyak masak terpakai boleh digunakan untuk membuat lilin.

Azmi berkata antara program yang dirancang di bawah kempen itu adalah membanyakkan lagi pusat pengumpulan minyak masak terpakai di Selayang dengan kerjasama majlis perbandaran di kawasan itu; mengadakan ceramah dan demonstrasi cara-cara membuat baja kompos dan mewujudkan beberapa pertandingan inovasi daripada barangan kitar semula. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SELAYANG - Perjanjian perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan sisa pukal/kebun di antara Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) untuk tempoh tujuh tahun bakal membawa satu pembaharuan dan modus operandi baru dalam pengurusan sisa pepejal di daerah ini.
  • SELAYANG - Masalah peralatan terhad antara punca KDEB Waste Management menghadapi kesukaran menguruskan sisa pepejal bagi kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
  • SHAH ALAM - Kerajaan Selangor kesal dengan tindakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang membatalkan keputusan penyambungan kontrak Worldwide Holdings (WHB) selaku operator bagi Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21, di sini.
  • SEREMBAN - Pemilik premis perniagaan termasuk peniaga di bazar Ramadan disaran agar mempraktikkan pengasingan sisa pepejal di punca, walaupun penguatkuasaan tersebut masih belum diwajibkan terhadap mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.