SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Selangor menahan 31 pekerja pusat urut warga asing selepas menggempur lapan premis termasuk sebuah rumah sewa yang dijadikan asrama  di sekitar Setia Alam di sini, Subang Jaya dan Petaling Jaya dalam ‘Ops Gegar’ yang berakhir awal pagi tadi.

Pengarahnya, Omran Omar berkata dalam operasi hampir tujuh jam bermula 8 malam itu, mereka yang ditahan merangkumi warga Vietnam, Indonesia, Kemboja dan China dengan 30 daripadanya adalah wanita.

Kesemua mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta menyalah guna pas di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-peraturan Imigresen 1963, katanya dalam kenyataan, di sini.

“Semasa diserbu, tiga daripada premis berkenaan didapati kosong dipercayai telah ditinggalkan sebelum kehadiran pegawai operasi.

“Salah satu pusat urut yang diserbu setelah diperiksa pegawai operasi telah menahan hanya dua pekerja warga asing. Namun hasil risikan awal, pegawai operasi telah menyerbu sebuah rumah sewa berdekatan dipercayai asrama untuk premis urut tersebut dan hasilnya tujuh warga asing dijumpai bersembunyi di dalam rumah itu,” katanya.

Menurut Omran, kesemua mereka yang berumur18 hingga 46 tahun itu telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor di sini  untuk siasatan lanjut.

Seramai 10 warga tempatan yang merupakan pelanggan dan penjaga kaunter premis turut dipanggil ke Pejabat Bahagian Penguat kuasa Imigresen Selangor untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan, katanya. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GOMBAK - Seorang pekerja kedai runcit maut ditikam, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian di Taman Selayang, Batu Caves, di sini, tengah malam tadi.
  • GEORGETOWN - Pulau Pinang masih mengalami kekurangan pekerja dengan anggaran 20,000 orang yang diperlukan dalam usaha meningkatkan lagi pembangunan ekonomi di negeri ini.
  • KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seramai 118 bekas pekerja syarikat pengeluar keluli bersepadu terbesar di Malaysia yang beroperasi di Pusat Perindustrian Gebeng, di sini, yang mendakwa diberhentikan kerja secara mengejut tampil menuntut bekas majikan mereka membayar gaji tertunggak dan memberi pampasan segera.
  • SUNGAI PETANI - Syarikat perindustrian terutama pengilang atau sektor swasta digesa mengupah pekerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan pengambilan pekerja asing.