KUALA LUMPUR – Seramai 23 individu telah diambil keterangan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan di pejabat akhbar Tamil Malar Daily di Jalan Ipoh di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, tiga individu telah membuat laporan polis setakat ini mendakwa telah dipukul dengan tangan dan mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, individu itu termasuklah daripada pihak akhbar tersebut, pihak MIC dan saksi awam.

“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Siasatan masih dijalankan dan kita meminta orang awam dan saksi bebas yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada kedua-dua pihak atau mana-mana individu yang terlibat dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan yang bertentangan juga menyalahi undang-undang dengan mengadakan sebarang bantahan juga provokasi atau berhimpun bersabit insiden tersebut dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa juga yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan ingin mencetuskan kekacauan

Terdahulu, kejadian telah dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan telefon bimbit dan turut dimuat naik dalam Facebook.

“Hasil penelitian mendapati kedua-dua pihak dilihat bersemuka dan kemudian berlaku pertengkaran dan tolak menolak. Daripada rakaman itu jumlah individu yang terlibat adalah kira-kira 30 orang,” katanya.

Kira-kira jam 11.30 pagi, 6 September lalu, kira-kira 80 hingga 100 orang lelaki dikatakan telah berkumpul di perkarangan bangunan pejabat akhbar Tamil Malar dan berakhir dengan insiden merusuh.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.