SHAH ALAM - Anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir 20 minit bagi mengeluarkan dua mangsa tersepit dalam lori selepas terbabit kemalangan di Kilometer 27.7 Lebuhraya Kesas menghala Pelabuhan Klang, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu pada jam 10.13 pagi.

“Lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zakaria Mohd ke lokasi bersama sebuah jentera ke lokasi dan mendapati dua mangsa dalam lori tiga tan tersepit apabila lori dinaiki terlanggar pembahagi jalan.

“Bomba keluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas sebelum kedua-keduanya mendapat rawatan susulan,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori yang cedera ringan dikenali sebagai Mohd Samsung Omar, 45, manakala penumpang bernama Jamaludin Hosen, 60, cedera di bahagian muda dan kaki.