SHAH ALAM - Fama Selangor bakal membawa masuk sekurang-kurangnya 140 lagi produk usahawan tempatan Selangor ke pasaran Singapura bermula 15 Julai hingga 15 Ogos ini.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghariff Ramin, berkata, sehingga kini terdapat 94 produk telah mendapat tempat di negara itu.

“Dijangkakan kali ni kami dapat bawa masuk sekurang-kurangnya 140 lagi produk daripada 41 usahawan,” katanya ketika menghadiri Majlis Silaturahim Aidilfitri Rumah Terbuka Fama Selangor, di sini, semalam.

Kira-kira 6000 tetamu termasuk usahawan seluruh Selangor hadir ke majlis tersebut.

Abdul Ghariff berkata, secara tidak langsung majlis tersebut menjadi medan pertemuan dan perbincangan bersama usahawan tempatan Selangor.

“Majlis ni merupakan program tahunan Fama Selangor di lokasi berbeza.

“Selain meraikan tetamu yang hadir, majlis ini juga dapat membantu melonjakkan usaha mengetengahkan produk tempatan ke pasaran antarabangsa terutamanya Singapura,” katanya.