• Dicekup berjudi Sebahagian warga emas dicekup leka bermain judi di Seri Kembangan, lewat petang kelmarin.
1 /

SERI KEMBANGAN, Lembah Klang – Tidak padan dengan usia yang sudah lanjut, 12 warga emas layak digelar atuk dan nenek dicekup asyik bermain judi jenis 'jim rummy' dan mahjung di sebuah kedai kopi, Jalan Panggung Wayang, lewat petang kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu, sembilan lelaki dan tiga perempuan masing-masing berusia antara 48 hingga 79 tahun dikatakan leka mempertaruhkan wang dalam perjudian haram itu.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, menjelang sambutan Tahun Baru Cina pihaknya mempertingkatkan tindakan pembanterasan perjudian.

Diketuai Pegawai D7 IPK Selangor, Inspektor Joycelyn Liza Edmund bersama lapan anggota, premis dipercayai mula beroperasi sejak sebulan lalu diserbu pihaknya. Beliau berkata, premis terbabit dikatakan menerima ramai pengunjung menjelang saat akhir sambutan Tahun Baru Cina.

Jelasnya, operasi dikenali sebagai Ops Limau 2013 dilaksanakan bagi mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai masalah ketagihan berjudi yang tidak memberi manfaat berguna.

“Di premis ini seorang penjaga wanita, sembilan lelaki dan tiga wanita dipercayai pelanggan dan kaki judi ditahan.

“Tiga buah meja, 12 kerusi plastik, enam biji dadu, 112 batu ‘jim rummy’, 296 batu mahjung dan 155 cip pelbagai warna dirampas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai sebanyak RM102 yang berada di atas meja. Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.