BUKIT SENTOSA - Jangkitan wabak beguk menyebabkan 12 kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sentosa ditutup selama 14 hari bermula hari ini.

Guru besar sekolah berkenaan, Firdaus Abu Hanifah berkata, kelas tersebut masing-masing enam di sesi pagi dan petang yang digunakan secara bersama membabitkan murid tahun satu hingga enam.

Menurutnya, penutupan dilakukan atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kubu Baru selepas 11 murid dikesan dijangkiti penyakit berjangkit itu.

"Antara murid yang terlibat sudah kembali sembuh namun penutupan kelas bagi mengelak jangkitan baharu selain membolehkan kerja pembersihan dijalankan.

"Ini tidak bermakna murid akan bercuti selama 14 hari kerana bergantung kepada keadaan semasa.

"Isnin depan, kerja pembersihan kelas akan dilakukan dan sekiranya pejabat kesihatan daerah berpuas hati, sesi pembelajaran akan diteruskan seperti biasa," katanya.

Firdaus berkata, ibu bapa dan penjaga kepada murid dari kelas terlibat diminta agar memastikan anak mereka dikuarantinkan di rumah masing-masing.

Menurutnya, sebarang perkembangan lanjut mengenai perkara tersebut akan dimaklumkan mengikut arahan dari pejabat kesihatan daerah.