SHAH ALAM - Pada 9 Mei lepas, negara menyaksikan per­tukaran kerajaan secara aman selepas PH berjaya meraih kemenangan besar di samping merampas pentadbiran beberapa buah negeri yang sebelum ini menjadi kubu kuat BN.

Namun begitu, apa yang lebih menjadi perhatian masyarakat dan pemerhati politik pada pasca PRU14 lalu adalah kemampuan kerajaan baharu ini untuk menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari pentadbiran mereka.

Bagi konteks Selangor, terdapat sedikit perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri apabila tujuh muka baharu antara 10 Exco yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Mei lalu.

Di samping itu, kepimpinan Kerajaan Selangor pada kali ini juga turut menyaksikan per­ubahan apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali me­lepaskan jawatan beliau kepada Adun Sungai Tua, Amirudin Shari selepas dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Jika dilihat, tidak banyak perkembangan baharu berlaku dalam tempoh 100 pentadbiran PH di Selangor berikutan kepimpinan pada masa kini hanya meneruskan kesinambungan kerajaan negeri terdahulu melalui kon­sep Insiatif Peduli Rakyat (IPR).

Namun terdapat sedikit perubahan dalam isu penstrukturan semula industri air di Selangor apabila permasalahan itu hampir selesai menerusi persefahaman dicapai oleh kerajaan negeri dan pusat selepas PRU14.

Sebelum ini, proses penstrukturan semula air di Selangor tertangguh sejak sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan Persekutuan semasa pentadbiran BN mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambil ali­han Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

Namun begitu, Amirudin sebelum ini menyatakan bahawa isu tersebut bakal menemui jalan penyelesaian apabila Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membayar RM2.55 bilion bagi meng­ambil alih Splash.

Amirudin dalam kenyataan beliau menyatakan bahawa jumlah pembayaran tersebut adalah selepas pem­berian diskaun 28 pe­ratus berdasarkan nilai buku ber­sih Splash sebanyak RM3.54 bilion setakat 30 Jun lalu.

Difahamkan, Air Selangor akan membuat bayaran pen­dahuluan RM1.9 bilion manakala baki RM650 juta akan dibayar secara ansuran selama 9 tahun.

Air Selangor sebelum ini berjaya mengambil alih Syabas dan Puncak Niaga Sdn Bhd dengan jumlah masing-masing bernilai RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014 serta Konsortium Abass Sdn Bhd pada harga RM900 juta.

Sejak pengambilalihan tiga syarikat konsesi itu, Air Selangor membina dua loji rawatan air di Semenyih 2 dan Labohan Dagang.