KLANG - Sebanyak 10 kawasan dijangka terjejas akibat fenomena air laut pasang besar yang dijangka berlaku di kawasan pesisir laut sepanjang Pelabuhan Klang pada 10 hingga 12 September ini.

Pejabat Daerah/Tanah Klang dalam satu kenyataan media memberitahu, 10 kawasan berisiko tinggi terbabit adalah Pengkalan Tok Muda, Ban Sementa, Ban Sg Keramat, Batu 5 Jalan Kapar, Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Kampung Perepat - jeti Nelayan Kampung Perepat, Northport, Pelabuhan Klang, Pulau Ketam dan Telok Gong.

Menurut kenyataan sama, fenomena tersebut boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke sekitar kawasan penempatan penduduk, sekaligus menyebabkan bencana banjir.

"Satu mesyuarat penyelerasan induk bagi menghadapi fenomena ini sudah dilakukan bersama semua agensi berkaitan antaranya bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Meteorologi serta Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

"Malah lawatan ke lokasi di Pengkalan Tok Muda dan ban Sg Keramat Batu 5, Kapar juga dibuat pada Isnin lalu bagi meneliti dan melihat sendiri keadaan fizikal serta keutuhan ban yang berisiko tinggi," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Fenomena air laut pasang besar bermula Isnin ini]

Kenyataan sama memberitahu, bomba dan polis juga akan mengaktifkan pos kawalan tempat kejadian  dan pos kawalan hadapan bagi menyelaras anggota dan aset-aset bagi kegunaan operasi pemindahan, mencari dan menyelamat di lokasi strategik.

"Pusat-pusat pemindahan yang sesuai juga dikenalpasti dan memastikan pusat-pusat pemindahan tersebut dalam keadaan baik dan boleh digunakan serta-merta.

"Penduduk di kawasan yang terlibat diminta tidak khuatir serta dinasihatkan untuk berjaga-jaga. Sekiranya arahan perpindahan dimaklumkan, penduduk diminta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa," katanya.

Kawasan kediaman dan penempatan berada di lokasi berisiko tinggi akibat fenomena air laut pasang besar:

1. Dewan Serbaguna, Kg. Tok Muda, Kapar

2. Sekolah Rendah Agama Kampung Sementa

3. Sekolah Rendah Agama Kg. Batu 4, Jalan Kapar

4. Dewan Orang Ramai Jalan Palembang, Rantau Panjang

5. Dewan Dato Ahmad Razali, Kg. Batu 4, Jalan Kapar

6. Dewan Bandar Sultan Sulaiman

7. Dewan Kompleks Sukan Pandamaran

8.  SJK (Cina) Lee Min, Kg Teluk Gong