• Kehadiran Kelab Motor Scrambler menghangatkan lagi showcase. Kehadiran Kelab Motor Scrambler menghangatkan lagi showcase.
1 /

BANTING - Penganjuran Showcase Anak Muda di Dataran Pantai Morib di sini  yang diperhebatkan dengan persembahan penyanyi popular Ramli Sarip, berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung yang kebanyakannya generasi muda.

Program anjuran Majlis Belia Selangor (MBS) Daerah Kuala Langat itu adalah inisiatif dalam menyediakan platform kepada anak muda menyuarakan pandangan dan idea untuk dimanfaatkan negara pada masa depan.

Pengerusinya, Zurihan Yusop berkata, selain berperanan menghimpunkan belia, program ini turut berfungsi menjalin kerjasama erat, mengetengahkan bakat dan idea masing-masing.

Menurutnya, program tersebut bukan sahaja memberikan peluang kepada golongan belia berkumpul dan keluarga beriadah, malah membantu menjana pendapatan usahawan kecil yang membuka gerai jualan sepanjang showcase berlangsung.

"Saya bangga dengan sambutan yang diberikan yang menjadi manifestasi bahawa belia di daerah ini sudah mempunyai semangat baru.

"Golongan muda sememangnya memainkan peranan signifikan kepada pembangunan negara. Malah mereka juga menunjukkan disiplin yang sangat tinggi," katanya.

Program di Morib itu adalah siri keenam sebelum diteruskan ke daerah Klang, Sabak Bernam dan Setia Alam yang memberikan peluang kepada belia berhibur dan mendapatkan informasi terkini.

Turut hadir Presiden MBS, Datuk Irmohizam Ibrahim; Penyelaras Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli; Adun Morib, Hasiman Sidom dan Pengerusi Belia 4B Kuala Langat, Hafez Shuriddin.

Showcase yang berlangsung pada 8 pagi hingga 11 malam itu melibatkan kira-kira 60 gerai jualan meliputi jualan barangan dan makanan serta pameran pelbagai perkhidmatan kerajaan serta swasta.

Selain persembahan hiburan dan jualan, Showcase Anak Muda itu turut disertai Kelab Motor Scrambler dari KDD Klang, pertandingan menyumpit dan gusti lengan, lastik gergasi Angry Bird dan pameran ular serta  menampilkan pelawak popular, Ebby Yus dan kumpulan nasyid Mestika.

Sementara itu Irmohizam ketika ditemui berkata, penganjuran showcase di Kuala Langat ini adalah antara yang terbaik dengan perjalanan aktiviti yang lancar serta berjaya menarik ribuan pengunjung.

"Melalui sambutan yang diberikan, kita mampu melepasi sasaran awal bertemu seramai 100,000 anak muda Selangor menerusi program ini.

"Ini antara penganjuran showcase terbaik setakat ini dengan jumlah pengunjung yang ramai," katanya.

Menurutnya, sebagai menghargai jasa wira-wira negara, MBS melalui program berkenaan turut melancarkan Tabung Perajurit Lahad Datu untuk disumbangkan kepada waris anggota keselamatan yang terkorban.

"Kita melancarkan tabung ini untuk orang ramai menyumbang melalui pembelian nombor cabutan bertuah dan sumbangan peribadi.

"Ini adalah sebagai tanda prihatin golongan muda terhadap kejadian tersebut," katanya.

Irmohizam turut menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah, sebuah motosikal Honda EX-5, telefon bimbit, jam tangan dan hadiah saguhati kepada pengunjung.

Bagi aktivis belia, Muhammad Shafie Sukirno, 29, dari Olak Lempit berkata, aktiviti yang disediakan memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Golongan belia hingga ke warga emas boleh bersama-sama bertukar pendapat tentang isu semasa, seterusnya merapatkan jurang antara mereka,” katanya.