KUCHING – Berikutan pengurangan bayaran premium tanah bagi lot kediaman, skim penempatan semula dan skim perluasan kampung, sejumlah 7,174 pemilik tanah di negeri ini akan menerima bayaran balik berjumlah RM43,447,264.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata hari ini, ekoran pengumuman beliau pada 7 Mei lepas untuk mengurangkan bayaran premium tanah bagi semua skim penempatan semula dan skim perluasan kampung di bawah kerajaan negeri sebanyak 50 peratus, maka kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa ia dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan, untuk memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan rendah di Sarawak.

"Keputusan untuk mengurangkan separuh bayaran itu bertujuan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata, bayaran balik itu hanya akan diberi kepada pemilik asal lot, lot yang sudah dipindah milik kepada waris, pemegang surat kuasa tadbir dan lot yang dipindah milik kepada anggota keluarga terdekat atas dasar kasih sayang.

"Pemulangan lebihan bayaran premium itu tidak melibatkan lot tanah yang telah dipindah milik melalui transaksi jual beli," kata beliau.

Menurut Ketua Menteri, berkuat kuasa pada 6 Mei tahun ini, bayaran premium tanah untuk lot kediaman di bawah skim-skim berkenaan adalah tidak melebihi RM2,500 bagi setiap lot.

Beliau berkata apa-apa bayaran yang dibuat pada atau sebelum tarikh kuat kuasa (6 Mei)  yang melebihi RM2,500, akan dipulangkan.

Untuk mendapatkan bayaran balik, pemilik tanah dikehendaki mengisi dan mengemukakan borang permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei sebelum 31 Oktober tahun depan. –Bernama