KINABATANGAN - Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menggesa kerajaan persekutuan membuat penegasan berhubung penggunaan bahasa  Inggeris  sebagai bahasa pengantar di Sabah.

Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, ini seiring dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Antara 20 perara dalam perjanjian itu ialah bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmu dalam pentadbiran dan sistem pembelajaran di negeri ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan  Mesyuarat Agung  Tritahunan Upko Bahagian Kinabatangan di Tongod, di sini hari ini.

Madius mengulas  kenyataan Kementerian Pendidikan dalam jawapan bertulis di Dewan Negara  pada  Selasa lepas yang tidak bersetuju bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar sekolah kebangsaan termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak terima (setuju) kenyataan Kementerian Pendidikan itu. Kita mohon kepimpinan negara bila nyatakan kedudukan Sabah perlu kekal seperti mana dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 termasuk berkaitan penggunaan bahasa Inggeris,” katanya.

Sehubungan itu, Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata bantahan mereka akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan menerusi resolusi yang akan dibuat pada Forum Perjanjian 1963, anjuran Upko di Kota Kinabalu esok.

Katanya pada forum itu, pembentang kertas kerja akan membincangkan pelbagai isu berkaitan 20 perkara dalam MA63. – Bernama