KUCHING - Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN)  Datuk Amar Douglas Uggah Embas menafikan laporan akhbar tempatan mengenai tindakan Jabatan Veterinar negeri yang kononnya melemaskan anjing liar sebagai langkah melupuskan haiwan itu.

Katanya jika perkata itu berlaku beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang tegas ke atas individu yang bertanggungjawab melakukannya.

“Jabatan Veterinar mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menangani masalah anjing liar yang ditangkap semasa Operasi Rabies yang kini giat dijalankan di negeri ini. Kita (Jabatan Veterinar) tidak melakukan perbuatan sedemikian, ia kejam. Jika betul perkara ini berlaku saya sendiri akan mengambil tindakan terhadap individu tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah ditemui selepas merasmikan International Catholic Committee of Nurses and Medical Social Assistants (CICIAMS) di Hotel Riverside Majestic di sini, hari ini.

Dua hari lepas sebuah akhbar tempatan memetik satu sumber dalam laporannya mengenai tindakan pemburu anjing yang melupuskan haiwan itu dengan cara melemaskannya sebagai usaha menjimatkan kos, dalam operasi membanteras penularan jangkitan penyakit rabies, atau penyakit anjing gila.

Uggah berkata beliau berasa kesal dengan tindakan individu yang melaporkan berita itu dan menyifatkannya sebagai melanggar etika kewartawanan.

“Dia (individu yang melaporkan) sepatutnya ada bukti yang kukuh sebelum melaporkan sesuatu berita kerana ia mampu memberi impak negatif. Bila perkara ini sudah tular, impaknya melibatkan seluruh negara, sekali gus menjejaskan nama negara,” katanya.

Kongres dunia ke-20 CICIAMS bertema ‘Education for Sustainable Health: Engaging Development, Respecting Life’ itu dihadiri kira-kira 450 peserta dari pelbagai negara seperti, Singapura, India, Jepun, Filipina, Amerika dan Kanada.

CICIAMS ditubuhkan pada 1933 dan diadakan setiap empat tahun, dihoskan oleh persatuan kebangsaan di rantau Afrika, Asia, Eropah dan Amerika. - Bernama