SANDAKAN - Kematangan ahli Umno Sabah membolehkan parti itu mendepani ujian tanpa menjejaskan perpaduan sesama mereka, baik di peringkat akar umbi mahupun pucuk pimpinan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata sekalipun Umno Sabah adalah ‘adik bongsu’ dalam kalangan badan perhubungan Umno negeri, ia tetap berupaya mempamerkan kematangan, kewarasan dan kekuatan yang luar biasa.

Ini katanya dapat dilihat ketika Umno Semporna berdepan ujian pada tahun lepas yang meletakkan pemimpin dan ahlinya di persimpangan.

“Ketika itu saya sendiri turun ke Semporna untuk merasmikan persidangan perwakilan bahagian serta memberikan kata-kata semangat dan mengingatkan kembali hala tuju parti. Bukan mudah ketika itu,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Libaran, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

  Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata pada akhirnya ujian itu mengukuhkan lagi kematangan Umno Sabah yang pastinya dapat membantu untuk menghadapi cabaran pada masa depan, khususnya semasa pilihan raya umum.

Tahun lepas, Umno Semporna berdepan cabaran apabila Ketuanya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Naib Presiden parti tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan tertinggi dalam beberapa isu, dan berakhir dengan beliau keluar parti.

Hishammuddin berkata Umno tidak pernah sunyi daripada ujian yang berlaku sejak awal penubuhannya dan kerap kali menuntut anggotanya membuat pilihan sama ada mengutamakan parti atau individu dan hubungan kekeluargaan. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TENOM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta rakyat di Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang cuba menanam politik kebencian dan adu domba sehingga boleh mengancam keselamatan negara semata-mata untuk kepentingan politik.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.