KOTA KINABALU- Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean berlepas pulang ke Singapura hari ini selepas mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Kota Kinabalu, Sabah.

Chee Hean dan isteri Chew Poh Yim bersama delegasi berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menerusi penerbangan komersial Malindo Air pada pukul 9.15 pagi ini.

Hadir di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datu Rusmadi Datu Sulai.

Dalam lawatan kerja tiga hari itu, Chee Hean menghadiri sesi taklimat berhubung industri pelancongan Sabah oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah selain beliau turut diraikan pada jamuan malam negeri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Chee Hean turut mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin serta melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Sepanggar.

Pada lawatan itu, Chee Hean turut mengadakan perbincangan bersama Mohd Shafie bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Singapura dan Sabah termasuk dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan khususnya sektor pelancongan, pendidikan teknikal dan vokasional serta pembangunan hartanah.- Bernama