KUCHING - Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Bintawa Hilir di sini awal hari ini menyebabkan 31 orang hilang tempat tinggal.

Bagaimanapun, tiada yang cedera dalam kejadian itu yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dan Tabuan Jaya dilihat menggunakan  teknik ‘firebreak’ di tempat kejadian bagi mengelak api merebak ke rumah-rumah berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya Tan Min Chai berkata, dengan bantuan daripada Sesco dan anggota polis, bomba berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada 9.23 pagi.

“Anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran menggunakan teknik ‘firebreak’ yang menghalang rumah lain daripada terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata punca kebakaran masih disiasat.- Bernama