TAWAU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengingatkan pemimpin koperasi agar menerajui organisasi mereka dengan jujur, ikhlas dan cekap bagi memastikan koperasi masing-masing terus berdaya saing dan kekal kompetitif dalam menjana keuntungan.

Katanya  jatuh bangun sesebuah koperasi berkait rapat dengan tadbir urus yang berlandaskan prinsip-prinsip terbabit.

“Mana-mana koperasi besar, kalau pengurusnya tidak ikhlas, tidak jujur mengendalikannya maka koperasi itu  sama ada akan jatuh atau bermasalah, tetapi kalau ada koperasi kecil tetapi pengurusnya bersikap jujur dan tidak mustahil koperasinya akan maju berkembang,” katanya ketika merasmikan Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Pada masa sama Musa berkata  usaha memupuk kesedaran berkoperasi perlu ditingkatkan supaya gerakan koperasi di Sabah menjadi antara pemangkin kepada penduduk setempat meningkatkan taraf sosioekonomi.

Beliau juga berkata kerajaan negeri komited membantu kerajaan persekutuan dalam menyokong pembangunan koperasi melalui pembangunan modal insan yang kompeten dan berkualiti.

 “Komitmen ini dibuktikan menerusi pembinaan sebuah kompleks latihan yang dikenali sebagai Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi  di Kinarut, Papar yang dibangunkan di atas tanah seluas 15 ekar yang disediakan kerajaan negeri.

“Hasilnya pembukaan pusat ini, sebanyak 13,000 anggota dan pegawai koperasi berjaya dilatih dalam pelbagai bidang pengurusan koperasi,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Jamil Salleh berkata  gerakan koperasi negara mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan 13,428 koperasi berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan 7.7 juta orang setakat Disember 2016.

Keseluruhannya, gerakan koperasi negara mencatatkan modal syer dan yuran sebanyak RM13.99 bilion manakala aset serta perolehan koperasi masing-masing bernilai RM130.74 bilion dan RM39.66 bilion, katanya.

“Berdasarkan maklumat ini gerakan koperasi merupakan antara penyumbang terbesar kepada pembangunan sosioekonomi negara di samping berupaya menangani kos sara hidup masyarakat,” katanya lagi.

Jamil berkata gerakan koperasi Malaysia kini boleh dibanggakan kerana tidak lagi dilabelkan sebagai pertubuhan sosial semata-mata tetapi entiti ekonomi yang mampu bersaing setanding dengan organisasi perniagaan lain. – Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menafikan dakwaan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman bahawa kerajaan negeri memperoleh keuntungan kira-kira RM12.5 bilion daripada penjualan tanah di negeri ini.
  • MACHANG - Bermula sekadar suka-suka, Nur Hanim Adilah Rahim, 22, kini mampu menjana pendapatan sendiri dengan menawarkan perkhidmatan mencetak gambar polaroid secara atas talian.
  • BANDAR BERA - Tidak perlu mengeluarkan modal yang besar, cukup serendah RM10 sudah mampu mengaut keuntungan hampir RM100.
  • AYER KEROH - Peniaga yang mendapat tapak Ramadan di negeri ini tetapi menyewakannya kepada orang lain untuk mendapat keuntungan atas angin, boleh dikenakan tindakan tegas termasuk lesen perniagaan mereka dibatalkan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.