• Datuk Yahya Hussin Datuk Yahya Hussin
1 /

KOTA KINABALU - Syarikat swasta di Sabah digalak menyumbang dalam pembangunan bidang pendidikan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin.
   
Katanya penglibatan lebih banyak syarikat swasta dalam bidang itu mampu membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan syarikat berkenaan beroperasi.
   
"Kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak muda dan membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk meningkatkan mutu pelajaran di Malaysia," katanya ketika melancarkan Tabung Pendidikan 'One Place Mall' di Putatan dekat sini.
   
Menurut Yahya, tabung pendidikan merupakan antara inisiatif terbaik membantu masyarakat setempat yang miskin membaiki taraf hidup mereka.
   
"Penubuhan tabung pendidikan (One Place Mall) ini akan dapat mengurangkan beban kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti modal insan di negara ini," katanya.
   
Sementara itu, Presiden Tabung Pendidikan One Place Mall, Toh Wing Hiung berkata 100 pelajar dari sembilan sekolah menengah dan rendah sekitar daerah Putatan dan Penampang dikenal pasti sebagai penerima bantuan RM50 sebulan.
   
Katanya kerjasama dengan pejabat pelajaran daerah turut dilakukan bagi mengesan pelajar miskin yang memerlukan bantuan di dua daerah tersebut. - Bernama