SARIKEI - Polis Sarikei memberkas sepasang suami isteri dan seorang penjawat awam di sebuah rumah di Taman Susur Jambu di sini petang semalam kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, beberapa paket plastik dan tiub penyedut minuman dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 51.89 gram dianggarkan bernilai RM7,700 telah dirampas.

“Ketiga-tiga suspek ini disyaki menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan di daerah ini dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Mereka bukan sindiket,”katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 24 dan 35 tahun telah direman selama lima hari sejak semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati penjawat awam yang mempunyai hubungan keluarga dengan pasangan suami isteri itu positif dadah.

Turut berada di rumah terbabit semasa serbuan ialah seorang bayi berusia antara dua dan tiga bulan dipercayai anak kepada pasangan suami isteri yang tidak bekerja itu.

Sementara itu, tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 27 dan 44 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Makmur di Sibu pada 5.40 petang semalam kerana disyaki terlibat dengan kegiatan yang serupa.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zailanni Amit berkata, pemeriksaan polis ke atas seorang daripada lelaki berkenaan yang berusia 35 tahun menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.58 g.

Pemeriksaan lanjut ke atas bahagian atas rumah tersebut telah menjumpai satu plastik warna putih terselit di celah rabung dan atap rumah yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 100.92g.

Selain disiasat di bawah Seksyen 39B, mereka yang positif dadah itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah. – Bernama