KOTA KINABALU - Polis menahan seorang lelaki berumur 56 tahun hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang wanita berumur 67 tahun di Kampung Kopungit, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji dalam kenyataannya malam ini berkata, lelaki berkenaan yang juga suami kepada mangsa ditahan kira-kira pukul 2 petang, tadi.

Semalam, suspek membuat laporan polis pada pukul 10.21 malam yang menyatakan isterinya telah meninggal dunia.

Menurut Habibi lelaki berkenaan membuat laporan polis untuk menuntut mayat isterinya bagi tujuan pengebumian dan supaya dapat dirujuk kepada pihak berkenaan bagi mendapatkan sijil kematian.

“Pemeriksaan awal yang dilakukan ke atas fizikal mayat mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian badan. Oleh yang demikian, siasatan awal diklasifikasikan kes mati mengejut (SDR).

Setelah proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa oleh pegawai perubatan pada jam 10.30 pagi tadi...punca kematian adalah disyaki akibat perbuatan jenayah. Oleh kerana itu, siasatan telah diklasifikasi  semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut Habibi pihaknya akan memohon untuk menahan reman suspek esok. - Bernama