PAPAR - Impian 70 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanaki di sini mengikuti pembelajaran di bangunan sekolah baharu bakal menjadi kenyataan apabila pembinaan dua bangunan baharu yang lengkap dengan enam bilik darjah bakal siap pada Disember ini.

Bangunan baharu sekolah rendah itu, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu, mula dibina pada Ogos lepas menggunakan kaedah Sistem Binaan Industri (IBS) dan merupakan sebuah projek kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Seorang murid, Mohd Haikal David berkata dia dan rakan-rakannya teruja dengan bangunan baharu sekolah memandangkan bangunan sebelum ini diperbuat daripada kayu tanpa kemudahan dan suasana pembelajaran selesa.

"Kelas sekarang (di bangunan baharu) lebih selesa berbanding sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat sekolah berkenaan bagi meninjau kerja-kerja pembinaan bilik darjah bangunan baharu itu hari ini.

Selain itu, perdana menteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan murid-murid berkenaan.

Beliau diiringi Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul serta para pegawai kanan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Haikal, murid Tahun Lima di sekolah tersebut, turut berkongsi perasaan gembiranya kerana dapat berjumpa perdana menteri secara dekat.

"Saya merasa gementar dan tidak menyangka dapat berbual dengan perdana menteri. Beliau turut memberi pesanan supaya kami semua belajar dengan rajin," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Tanaki, Jasri Amir Abjul, berkata lawatan perdana menteri ke sekolah itu diharap menjadi sumber inspirasi kepada warga sekolah terutama kepada murid-murid mereka.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana membina bangunan sekolah baharu itu dengan setiap bilik darjah mampu menampung sehingga 38 murid.

SK Tanaki dibina pada 1987 dengan mempunyai satu bangunan sahaja yang menempatkan bilik darjah, bilik guru dan pusat sumber tetapi  ia terbakar pada 2015.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Pelbagai reaksi diterima sebahagian daripada ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St Thomas terhadap keputusan untuk menukar nama kepada ‘Mahkota Abdullah’ apabila ia dipindahkan ke bangunan sekolah yang baru.
  • GUA MUSANG - Program Jom Ke Sekolah dengan kerjasama Felda dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan satu inisiatif kebangsaan bagi memberi peluang kepada ibu bapa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah.
  • IPOH - Tiada sekolah di Perak ditutup atau terjejas akibat banjir kilat susulan hujan tanpa henti sejak beberapa hari lepas.
  • KUALA KETIL - Warga sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan yang sedang menunggu tamat waktu persekolahan cemas apabila siling koridor tingkat 1 bangunan sekolah itu terbakar sebelum terpadam, hari ini.