TAWAU - Kerajaan negeri meminta pihak berkuasa serta badan pemantau harga barangan di Sabah supaya menyiasat jika masih berlaku peningkatan harga barang di negeri ini meskipun cukai barang dan perkhidmatan (GST) sudah ditetapkan berkadar sifar mulai 1 Jun lepas.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, arahan itu bagi menangani masalah manipulasi harga barangan dengan terkawal dan segera.

"GST yang enam peratus itu sudah tiada, kalau ada peningkatan kena siasat. Kita minta supaya agensi sedia ada seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang memiliki pegawai penguatkuasa untuk bantu menangani perkara tersebut," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Pengarah Hospital Besar Tawau, Dr Azman Ibrahim di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, langkah menghapus GST itu antara janji manifesto kerajaan pusat dan Sabah menyerahkan tindakan lanjut kerajaan pusat bagi menangani isu GST sehingga peringkat negeri.

Sementara itu, Mohd Shafie  mahu semua menteri kabinet negeri yang dilantik supaya turun padang bagi memastikan keperluan rakyat diketahui.

"Jangan lupa dengan rakyat, saya tidak mahu mereka (menteri) berada di pejabat setiap bulan, setiap minggu dan mereka perlu turun ke bawah berjumpa rakyat.

Jangan mereka ini hanya mendengar cadangan (misalnya) buat jalan, siasat sama ada jalan itu diperlukan, siasat sama ada perubatan cukup atau tidak cukup kena turun periksa, jangan hanya kita dengar melalui WhatsApp," katanya

Menurutnya ketua-ketua jabatan juga perlu menggalas tanggungjawab sama dan turun gelanggang mengetahui kepentingan rakyat.

"Jangan hanya datang surat ke pejabat kita dan kita hanya menguruskan surat tersebut (tanpa periksa)," katanya yang akan turut melakukan lawatan mengejut ke banyak kawasan di Sabah ini. - Bernama