KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini meminta Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) melakukan siasatan rapi tentang kematian enam gajah pygmy Borneo yang berlaku dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, jabatan itu juga perlu mengambil tindakann sewajarnya bagi mengelak berlaku lebih banyak kejadian serupa yang mengancam nyawa  hidupan liar serta membuat kajian tentang konflik manusia-gajah dan isu lain, termasuk aktiviti pemburu haram.

“Saya mengambil maklum daripada laporan berita bahawa punca kematian gajah ini sejak awal April dan 20 Mei, masih belum dikenal pasti.

“Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) komited untuk menjaga dan memulihara hidupan liar serta sumber asli Sabah dan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana kumpulan.

“Saya tidak mahu mendengar cakap  semata-mata. Saya ingin melihat rancangan pemuliharaan secara jangka  pendek dan jangka panjang disusun untuk dilaksanakan dengan pantas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Shafie berkata beliau ingin melihat SWD dan Jabatan Perhutanan Sabah bekerjasama rapat  untuk melindungi hidupan liar dan hutan, di samping berganding bahu dengan pertubuhan  bukan kerajaan (NGO) untuk mewujudkan dengan  segera koridor hutan, tanpa berasa bimbang tentang kepentingan perniagaan individu tertentu.

“Saya percaya rangkaian untuk melaksanakannya sudah ada, cuma sebelum ini tidak ada kesunggguhan untuk menjayakannya,” kata beliau.

Beliau juga meminta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  negeri Christina Liew segera diberi taklimat tentang keadaan semasa dan mencari jalan bagaimana semua langkah perlu dapat segera diambil bagi  melindungi  hidupan liar di negeri ini. - Bernama