SEMPORNA - Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) meluluskan 12,143 projek Tenaga Boleh Diperbaharui di seluruh negara dengan jumlah kapasiti sebanyak 1,632 MW setakat tahun lalu.

Menteri Tenaga, TekĀ­nologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, melalui jumlah projek Tarif Galakan yang diluluskan itu, Malaysia dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

"Di Sabah projek Tenaga Boleh Diperbaharui yang diluluskan melibatkan kapasiti 248.98 MW meliputi 896 projek  pembangunan manakala  Tawau menjadi pusat Tenaga Boleh Diperbaharui tertinggi dengan kapasiti 71.78 MW melibatkan 131 projek pembangunan.

"Di Tawau, Tenaga Boleh Diperbaharui yang terlibat adalah Biogas 13.395 MW, Biomas 18 MW, Geothermal 37 MW dan solar 3.38 MW sekali gus daerah ini boleh dijadikan contoh dan projek pembangunan seperti janakuasa solar dijadikan tempat kunjungan untuk pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan tapak projek Janakuasa Solar 1MW milik Powernet Venture Sdn Bhd di Kampung Menteritip di sini, hari ini.

Tenaga boleh diperbaharui merupakan antara cabang teknologi hijau dan ia memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran kerajaan untuk mengurangkan intensiti gas rumah hijau kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

Antara aktiviti yang  dikenal pasti untuk mencapai sasaran itu ialah melaksanakan Skim Pemeteran Tenaga Bersih oleh Seda dengan kuota 100 MW setahun yang bermula tahun ini dalam usaha menggalakkan penjanaan tenaga bersih menggunakan solar.

Sementara itu Ongkili berkata kerajaan sentiasa berusaha agar Indeks Durasi Purata Gangguan (SAIDI) dapat dikurangkan melalui pelbagai tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk tempoh empat tahun akan datang.

"KeTTHA sahaja membelanjakan RM1.3 billion tidak termasuk peruntukan dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk mengganti transmission, bina sub station, dan menggantikan wayar," katanya.

Beliau berkata, dii Tawau sahaja, SAIDI telah menunjukkan penurunan dalam tempoh lima tahun dan akan terus dapat dikurangkan termasuk seluruh negeri jika projek berkaitan selesai dilaksana. - Bernama