KOTA KINABALU - Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018 yang akan berlangsung di Padang Merdeka di sini pada Ahad ini amat bermakna kerana diraikan dibawah pemerintahan kerajaan yang baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan itu Datuk Peter Anthony berkata bagi memastikan acara itu berjalan lancar persiapan menjelang hari sambutan itu kini telah siap sepenuhnya.\

“Persiapan telah dibuat dengan lancar termasuk dari segi keselamatan yang pastinya pihak berkuasa  telah bersiap sedia bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2018, di sini hari ini.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata lebih 10,000 pengunjung dijangka akan turut bersama-sama memeriahkan sambutan itu yang bertemakan “Sayangi Malaysiaku”.

Beliau berkata sambutan itu dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  Mohamad  dan turut dihadiri pemimpin kerajaan Sabah dan Sarawak serta Persekutuan.

Katanya Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri juga akan turut menyerikan sambutan  pada malam itu.

“Sebelum acara bermula secara rasmi pada jam 8 malam, persembahan tarian akan dipersembahkan daripada pelajar sekolah rendah dan menengah,” katanya. – Bernama