KUCHING - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabat ketua menteri di bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya dekat sini.

Pertemuan hampir sejam itu merupakan sebahagian daripada program lawatan kerja Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ke Sarawak.

Hadir  sama pada pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Menteri Muda Pertanian Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Salahuddin yang tiba di sini semalam, memulakan lawatannya dengan menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parti Amanah Negara Sarawak malam tadi.

Pada sebelah petang nanti, Salahuddin dijadualkan  melawat Projek Ladang Kontrak Kampung Sungai Mata, Samarahan.

Beliau kemudian akan meneruskan lawatan ke Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjong Bako, pusat pendaratan ikan terbesar negara dan tercanggih di Asia Tenggara bernilai RM247.8 juta.

Salahuddin merupakan menteri persekutuan ketiga melakukan lawatan kerja ke negeri ini selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu. - Bernama