KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah tidak akan bertolak ansur dalam memastikan keselamatan negeri terpelihara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Beliau menegaskan tindakan keras  akan diambil ke atas anasir luar yang cuba membolosi sempadan negeri.

“Mana-mana anasir akan menggunakan berbagai kemudahan untuk melaksanakan niat jahat mereka.

“Penting bagi kita mengambil tindakan yang tegas dan keras sekiranya ada tanda-tanda jelas kumpulan (anasir jahat) itu mempunyai niat tidak baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan majlis penyampaian bantuan pendidikan ‘one-off’ Yayasan Sabah di sini.

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan negeri diminta mengulas kes dua lelaki dipercayai penculik, ditembak mati oleh pasukan keselamatan negara  di perairan Kunak berdekatan Pulau Boheyan malam tadi.

Mohd Shafie turut meminta pihak keselamatan meningkatkan risikan dan kawalan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan. -Bernama