SANDAKAN - "Sabah menjadi negeri yang utama di negara ini dalam program perlindungan dan pemuliharaan hutan hujan tropika," kata Ketua Konservator Hutan Sabah, Mashor Mohd Jaini.

Menurut beliau, kejayaan program itu berikutan adanya Enakmen Hutan, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar dan Enakmen Taman-Taman.

Katanya, ia membolehkan kawasan tanah yang mencukupi dapat disimpan dan diuruskan untuk tujuan pemuliharaan hutan dan alam semulajadi.

Sebanyak 53 peratus atau 3.9 juta hektar tanah di negeri ini telah dirizabkan secara kekal sebagai hutan simpan, kawasan perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar melalui dasar pengurusan hutan lestari.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penutupan Kursus Pendidikan Alam Sekitar untuk Guru-Guru di sini, hari ini.

Kursus enam hari itu disertai 31 guru dari 28 sekolah menengah di negeri ini yang dilaksanakan dibawah program yang diinisiatifkan oleh Rainforest Discovery Center Sepilok bertemakan Perlumbaan Alam Sekitar.

Mashor berkata, kerajaan negeri juga telah memutuskan supaya 30 peratus daripada kawasan hutan hujan tropika di negeri ini diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya menjelang 2025.

Katanya, pada dua tahun lepas, angka keluasan kawasan yang telah dilindungi sepenuhnya telah hampir 1.9 juta hektar atau 25 peratus daripada keluasan Sabah atau sebesar 18 kali ganda keluasan negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, salah satu contoh terbaik ialah Hutan Simpan Deramakot yang merupakan kawasan hutan tropika pertama di dunia dibawah 'Forest Sterwardship Council Standard pada 1997.

"Pengiktirafan ini bertaraf antarabangsa ini diberikan oleh 'Forest Stewardship Council' sebuah organisasi yang mempromosikan tanggungjawab bersama terhadap pengurusan hutan di dunia," katanya.

Selain itu, katanya, tapak Ramsar terbesar di negara ini yang meliputi kawasan seluas 78,000 hektar di Kinabatangan.

Namun begitu, beliau berkata terdapat juga cabaran dihadapi dalam pengurusan hutan mampan.

Katanya antara cabaran itu adalah kadar pulangan yang rendah, kos pemuliharaan hutan yang tinggi, pendudukan haram di hutan simpan, projek hantu dalam hutan simpan, pemilikan tanah dalam hutan simpan, pembalakan haram dan kebakaran hutan. - Bernama