NABAWAN – Sabah bakal berdepan krisis pekerja ladang yang sangat kritikal dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau.

Tangau yang juga Menteri Perindustrian dan Perdagangan Sabah berkata, perkara itu antara lain disebabkan sumber tenaga kerja seperti dari Indonesia memilih mengoptimumkan rakyatnya untuk bekerja di negara mereka.

“Tambahan lagi, pekerja dari Indonesia yang sudah berpengalaman di Sabah dalam kerja berkaitan memilih untuk bekerja di negara sendiri.

“Selain itu, gaji minimum di Indonesia yang lebih tinggi daripada Malaysia juga menjadi faktor penting yang sangat mempengaruhi (situasi ini),” katanya, di sini.

Tangau berkata, Indonesia kini ke arah memperkasa pembangunan industri perkilangan dan perladangan sekali gus memberi pilihan kepada rakyatnya untuk berkhidmat di negara sendiri.

Menurutnya, keadaan itu akan menjadi cabaran utama bagi Sabah untuk mendapatkan sumber tenaga kerja dari negara itu dalam bidang perladangan.

Tangau berkata, Sabah turut dijangka mengalami kerugian besar dari sudut cukai yang berjumlah RM900 juta setahun jika ladang kelapa sawit di negeri ini tidak dapat diurus dengan baik disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja.

Beliau juga berharap rakyat Sabah berfikiran terbuka dan tidak memandang negatif isu membabitkan pengambilan pekerja asing demi memastikan sektor perladangan dan perindustrian dapat diteruskan untuk pembangunan negeri pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Tangau berkata, kerajaan negeri pada masa ini sedang berusaha memastikan kesemua ladang kelapa sawit di Sabah termasuk pekebun kecil disijilkan supaya hasil mereka diterima kilang yang terbabit dengan pemasaran, katanya. - Bernama