KUCHING - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pemberian royalti petroleum berdasarkan pengeluaran dengan keuntungan adalah dua perkara berbeza dan sehubungan itu, kerajaan Sarawak mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada kerajaan persekutuan.

“Kita akan mendapatkan penjelasan kerana keuntungan dengan royalti tidak sama,” katanya ringkas kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) ke-51 di sini, pagi ini.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum akan dibuat berdasarkan jumlah keuntungan diperolehi daripada negeri berkenaan.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis, Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan komited merealisasikan janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 termasuk pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini.- Bernama