KOTA KINABALU- Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin menyarakankan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) membantu usahawan bimbingan agensi itu di Sabah memasarkan produk mereka menerusi aplikasi dalam talian.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata menerusi usaha itu, produk usahawan Risda di negeri ini dapat menembusi pasaran luar dan seterusnya meningkatkan lagi hasil jualan dan pendapatan mereka.

"Perniagaan dalam talian yang efektif mampu melonjakkan pemasaran, sekali gus melebarkan perniagaan para usahawan tempatan," katanya semasa merasmikan Karnival Usahawan Risda Sabah 2017 di sini hari ini.

Karnival tiga hari bermula Jumaat itu bertujuan mempromosi produk usahawan bimbingan Risda di Sabah dan mewujudkan rangkaian perniagaan yang lebih berkualiti.

Yahya berkata semua usahawan Risda di negeri ini perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai kaedah pemasaran terkini, termasuk dalam aspek pembungkusan dan pelabelan yang boleh mengangkat lagi standard serta kualiti produk mereka.

"Penghasilan produk bermutu dan kos pengeluaran rendah akan membantu usahawan menghasilkan produk yang mampu berdaya saing di dalam dan luar negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yahya berkata Risda memperuntukan RM 27 juta untuk aktiviti keusahawanan yang merangkumi Aktiviti Ekonomi Tambahan, pembangunan produk, pembangunan premis perniagaan, aktiviti pemasaran, pameran, promosi dan membina jaringan strategik dengan agensi berkaitan.

Sehubungan itu, Yahya mahu usahawan Risda merebut peluang dalam setiap program pembangunan keusahawanan dan aktiviti ekonomi yang dirangka agensi itu bagi meningkatkan kualiti hidup supaya tidak hanya bergantung terhadap komoditi getah dan sawit.-  Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDARAYA MELAKA - Polis Melaka berjaya merampas sebanyak 52.8 kilogram (kg) dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Malim di sini baru-baru ini.
  • KUALA ROMPIN - Pembangunan dan kemudahan yang disediakan bagi umat Islam di Pahang membuktikan negeri ini sentiasa memberi tumpuan kepada perkembangan syiar Islam.
  • KEMAMAN - Helah tiga buah bot nelayan asing Vietnam menyamar sebagai bot tempatan dengan mengibarkan bendera Malaysia dan Terengganu gagal mengaburi mata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) apabila ditangkap bersama hasil rampasan yang dianggarkan berjumlah RM2.5 juta.
  • KOTA TINGGI - Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya memberi bantuan dalam 6 kejadian kenderaan rosak sehingga hari ini sempena Ops Bantu Tahun Baharu Cina.
  • DUNGUN - Seorang lelaki hampir pengsan melihat kediaman tempat mereka sekeluarga berlindung musnah sekelip mata dalam kejadian kebakaran di kampung Binjai, Che Lijah, semalam