KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melaporkan 13 kes jangkitan rabies telah disahkan di Sarawak, yang mana 12 daripada mangsa telah meninggal dunia akibat wabak itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata usaha memerangi wabak rabies melibatkan kerjasama pelbagai agensi yang diketuai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, tugas utama pihak berkuasa tempatan adalah untuk menangkap anjing-anjing liar yang berkeliaran, mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai rabies dan mengawal populasi anjing yang dibela melalui pelesenan.

“Hingga akhir Oktober tahun ini semua bahagian di Sarawak kecuali Limbang telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999," kata Dr Sim dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Sim berkata, sejumlah 20,127 kes gigitan haiwan dari kawasan wabak telah dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sejak 1 April 2017 dan dari jumlah ini 5,557 kes gigitan berisiko tinggi terhadap manusia telah menerima suntikan anti rabies.

"Sarawak hanya boleh diisytiharkan bebas daripada wabak rabies ini jika tiada laporan baru kes jangkitan rabies haiwan dan manusia untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mensasarkan rabies akan dapat dihapuskan di seluruh dunia menjelang tahun 2030," kata Sim.

Sim berkata, beliau bersetuju dengan Adun Bukit Assek bahawa menghapuskan anjing-anjing liar dari jalan adalah penting namun keperluan membasmi rabies itu memerlukan pelbagai strategi.

Beliau berkata sejak wabak itu berlaku kira-kira 11,000 anjing liar telah dihapuskan oleh 26 pihak berkuasa tempatan di Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Sim berkata kerajaan Sarawak sangat menyokong inisiatif untuk mengharamkan merokok di tempat awam, sambil menambah bahawa kini terdapat 23 tempat awam yang telah diwartakan sebagai zon bebas rokok di bawah peraturan ini.

Sim berkata dari Januari hingga September tahun ini sejumlah 2,636 premis telah diperiksa bagi pematuhan peraturan dan setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM437,052 tahun ini. - Bernama