SEMPORNA - Pusat Sehenti Pelancongan bertaraf antarabangsa akan diwujudkan di Semporna bagi menyalurkan maklumat dan rujukan kepada pelancong domestik dan antarabangsa mengenai produk pelancongan setempat.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata, pewujudan pusat itu antara usaha untuk menarik lebih ramai kemasukan pelancong selain para pelabur yang berminat melabur dalam sektor pelancongan di Semporna.

"Pusat yang berkonsep in-situ iaitu memusatkan semua agensi dan pengusaha pelancongan sedia ada ini akan dilengkapi dengan pelbagai prasarana, serta bakal menjadi mercu tanda pelancongan baharu Semporna sekali gus akan menjana ekonomi di daerah ini.

"Ini juga akan memberi peluang untuk lebih banyak pengusaha pelancongan tempatan terlibat aktif seterusnya mencipta peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak Semporna, " katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perlawanan akhir bola keranjang peringkat Kampung Srijaya, mukim Simunul di sini.

Dalam pada itu katanya, Semporna merekodkan purata 1,000 kemasukan pelancong setiap hari dan ini jelas mengukuhkan lagi keperluan pewujudan pusat sehenti itu.

"Sebanyak 80 peratus pelancong direkodkan dari China selain pelancong dari 14 negara lain termasuk Kanada, Jepun dan Korea," katanya lagi.

Sementara itu, Ramlee turut mengumumkan akan membina gelanggang bola keranjang baharu di Kampung Srijaya untuk digunakan belia mukim Simunul dan warga Semporna bagi aktiviti riadah dan sukan.

Katanya,  pembinaan gelanggang itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk membudayakan masyarakat sihat melalui aktiviti sukan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEMPORNA - Sektor pelancongan Semporna berada di landasan terbaik apabila mencatat jumlah kedatangan pelancong yang meningkat sehingga melebihi 100 peratus pada tahun lepas berbanding tahun 2015.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.