• Menjelang PRU 13 Menjelang PRU 13
1 /

KOTA KINABALU - Masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) akan kehilangan kuasa dalam kerajaan jika mereka membuat perhitungan yang salah pada pilihan raya umum ke-13, kata seorang pensyarah.
   
Henry Bating dari Unit Bahasa Kadazandusun, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, berkata ini kerana suara komuniti itu tidak diwakili pada peringkat tertinggi dalam parti pembangkang.
   
Berbanding dalam Barisan Nasional (BN) yang mempunyai pemimpin KDM pada peringkat tertinggi, tidak ada etnik KDM yang menjadi presiden parti dalam pakatan pembangkang dan ini akan merumitkan urusan penggubalan dasar berkaitan kepentingan komuniti KDM, katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
   
"Semangat kekeluargaan BN yang didukung oleh pemimpin KDM dalam BN telah membawa pelbagai kebaikan dan kejayaan kepada masyarakat KDM," katanya.
   
Antara kejayaan itu ialah penubuhan kolej KDM, pelaksanaan kurikulum pengajian Kadazandusun di sekolah, kolej, institut dan universiti serta peningkatan status Mahkamah Anak Negeri ke taraf mahkamah sivil, katanya.
  
"Ini adalah beberapa pencapaian tersirat yang pada hakikatknya diperoleh hasil kepimpinan kekeluargaan dalam BN, di mana pemimpin-pemimpin utama KDM dalam BN turut memainkan peranan. 
   
"Mereka (pemimpin KDM dalam BN) bekerja umpama 'diam-diam ubi berisi' dan bukan seperti 'ayam bertelur riuh sekampung' atau 'menang sorak, kampung tergadai'," katanya.
    
Sehubungan itu beliau berharap masyarakat KDM tidak terjebak dengan permainan emosi pemimpin KDM parti pembangkang yang membangkitkan pelbagai isu bagi "membakar" perasaan komuniti terbabit dan beralih kepada pembangkang.
   
Tegasnya taraf hidup sebahagian besar masyarakat KDM, termasuk di kawasan luar bandar kini sudah jauh lebih baik dengan adanya pelbagai kemudahan  peluang ekonomi yang diwujudkan kerajaan BN.
   
"Rata-rata pendapatan per kapita mereka jauh lebih baik 10 tahun kebelakangan ini hasil pembangunan kerajaan seperti inisiatif penanaman dan pemasaran getah di kawasan pedalaman," katanya.  - Bernama