KUCHING - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan meneruskan 105 Projek Pembangunan Luar Bandar di Sarawak yang bernilai RM916 Juta.

Menterinya, Rina Harun berkata keputusan itu dibuat setelah kementeriannya menjalankan kajian yang menyeluruh mengenai perkara itu.

Beliau berkata antara projek tersebut adalah projek bekalan air bersih, projek bekalan elektrik dan projek bantuan perumahan untuk rakyat miskin.

“Kita (kementerian) dahulukan projek untuk rakyat agar penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan asas tersebut.

“Oleh itu, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengeratkan lagi kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan agar pelaksanaan projek itu dapat berjalan dengan lancar disamping mengelakkan pertindihan dan pembaziran,” katanya pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Beliau berkata cuma  satu sahaja projek yang  terpaksa ditangguhkan iaitu projek jalan raya di Tanjung Batu, Bintulu yang menelan belanja kira-kira RM2 juta. - Bernama