SANDAKAN - Program kesukarelawanan yang dilaksanakan oleh pelbagai organisasi memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembabitan masyarakat, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut beliau sebab itu kerajaan negeri sentiasa membuka ruang dan menyokong sepenuhnya mana-mana program yang dapat menggalakkan semangat kesukarelawanan kalangan masyarakat.

"Bidang kesukarelaan telah mengalami perkembangan yang tersendiri dan menyerlah menerusi organisasi kesukarelawanan ditubuhkan oleh individu atau sekumpulan individu.

"Namun terus relevan termasuk dalam membantu usaha menyelesaikan masalah sosial serta membantu golongan yang kurang bernasib baik dan terpinggir," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Bulan Sabit Merah Sedunia peringkat negeri dan Ulang Tahun Ke-70 Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Sabah di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Stephen Wong Tien Fatt.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata PBSM Sabah telah melalui fasa yang boleh dibanggakan sepanjang 70 tahun penubuhannya di negara ini.

Justeru, katanya, dalam tempoh beberapa tahun akan datang PBSM Sabah mampu menjadi satu badan sukarela yang cukup disegani di peringkat negeri dan kebangsaan. – Bernama