SANDAKAN -  Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan lapan pendatang  asing tanpa izin (Pati) dalam satu operasi khas di jeti Kampung Sungai Padas dekat sini, hari ini.

Pati berkenaan berasal dari Basilan di Selatan Filipina ditahan selepas turun dari sebuah bot laju pada 2.30 pagi oleh anggota PPM yang melakukan pemantauan di kawasan itu

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata Pati yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 13 hingga 53 tahun.

Katanya, turut dirampas sekeping kad pengenalan Malaysia disyaki palsu daripada seorang Pati dan 11 keping kad identiti Filipina.

Semua Pati tidak memiliki keterangan diri yang sah dan mengaku memasuki negara ini dengan niat melalui laluan yang tidak diwartakan, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata juragan bot laju membawa Pati itu dapat melarikan diri.- Bernama