LAHAD DATU - Polis menahan 19 individu termasuk dua wanita kerana kesalahan narkotik dalam Operasi Sarang di Kampung Puyut dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata operasi jam 2 pagi itu turut berjaya merampas 41.22 gram dadah jenis syabu bernilai RM2,960.

"Mereka ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaua 1952, Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hamzah berkata, 13 daripada 19 individu ditahan itu juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kesemua suspek yang rata-rata berumur 20 tahun dan ke atas itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Operasi yang berakhir jam 3 pagi itu disertai  89 anggota polis termasuk dari Jabatan Imigresen. - Bernama