MIRI - Siasatan dalaman akan dijalankan untuk mengenal pasti orang yang menyiarkan gambar wajah (mugshot) suspek dirakam polis dalam satu kes dadah di Kuching, yang tersebar melalui media sosial hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata siasatan dalaman itu dijalankan atas arahan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal setelah foto berkenaan disiarkan dalam laman Facebook Ruai Randau Sarawak, tanpa mengelabukan wajah suspek.

“Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal memandang serius perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini dan menegaskan bahawa individu yang bertanggungjawab menyiarkan foto berkenaan akan dikenakan tindakan tegas.

Dev berkata polis dimaklumkan tentang satu posting hari ini yang memetik kenyataan media Ketua Polis Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai tentang penangkapan tiga wanita yang disyaki terlibat dengan aktiviti berkaitan dadah, diiringi foto mugshot suspek yang dirakam polis.

Katanya, posting Ruai Randau Sarawak itu menerima beratus komen daripada warga Internet yang mengutuk laman Facebook berkenaan dan polis kerana menyiarkan foto itu.

“Kami dapat mengesan individu yang mempunyai kaitan dengan laman Facebook itu dan memerintahkan agar posting berkenaan dikeluarkan dengan serta-merta dan kemudian memadamnya,” kata beliau.

Beliau menasihati media, terutama portal berita dalam talian dan pentadbir laman Facebook supaya tidak menyiarkan foto suspek atau jika mahu digunakan juga, sekurang-kurangnya mengelabukan wajah suspek.

“Suspek belum disabitkan kesalahan di mahkamah dan mereka tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah,” katanya.

Beliau berkata perbuatan menyiarkan foto suspek sebelum proses penghakiman dijalankan boleh merosakkan reputasi suspek serta anggota keluarganya dan kerosakan itu tidak boleh dibaiki lagi, di samping menyebabkan mereka mengalami trauma mental.- Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TUMPAT - Polis menahan dua remaja lelaki dan seorang perempuan yang menyamar anggota polis dan menyamun bersenjata kapak di Kampung Paloh, Palekbang.
  • TAWAU - Pihak polis mencari empat lelaki termasuk dua warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung kes memukul seorang lelaki sehingga membawa maut di luar pusat hiburan Jalan Kuhara di sini Ahad lepas.
  • BUTTERWORTH - Seorang remaja yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal dan menjualnya dengan harga murah ditahan di Taman Siakap, Seberang Jaya tengah malam tadi.
  • JEMPOL - Seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini mengejutkan pengurusan sekolah apabila dia selamat melahirkan seorang bayi perempuan pagi tadi.
  • JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menyelamatkan 23 wanita warga Vietnam yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan dan dipaksa menjadi pelayan pelanggan, dalam serbuan Ops Noda di dua pusat hiburan sekitar bandaraya ini awal pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.