SIBU - Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan seorang wanita berusia 58 tahun di rumahnya di Pulau Kerto di sini pada Jumaat lepas, dengan tertangkapnya dua lagi suspek petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata dua lelaki terbabit dibawa ke mahkamah pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman.

“Kita percaya dapat menyelesaikan kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kedua-dua lelaki terbabit ditahan di sebuah rumah panjang tidak jauh daripada rumah mangsa petang semalam,” katanya tanpa menyebut waktu penangkapan itu, ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi suspek yang diuji positif dadah, ditahan pada Sabtu lepas di rumahnya, juga terletak tidak jauh daripada rumah mangsa.

Stanley berkata polis sudah menahan lapan lelaki berusia antara 20 dan 35 tahun berhubung siasatan terhadap insiden rompakan yang bertukar menjadi kes pembunuhan itu.

Kes pembunuhan Ting Poh Sing berlaku pada 3.30 pagi Jumaat lepas, ketika beberapa suspek melakukan rompakan di rumah mangsa.

Mangsa yang tinggal bersama ibunya berusia 85 tahun yang terlantar di atas katil, dikatakan bergelut dengan suspek apabila terjaga setelah mendengar bunyi bising semasa kejadian rompakan tersebut.

Ting ditemui dalam keadaan terbaring dengan tangan dan kaki diikat, serta mulut ditutup dengan tuala oleh kakak dan anaknya yang datang melawat beliau pada 7 petang hari yang sama.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas dan beberapa tulang rusuknya patah,” kata Stanley. - Bernama